PARI-PARI P U T E R I

kamu ; mereka :)

Sunday, October 14, 2012

Ainul Mardhiah



Ainul Mardhiah
Karya: Ifa Zulaikha

Pandanganya tertumpu pada dua orang wanita yang sedang berbual di hadapannya. Kedua-dua wanita itu mengenakan tudung labuh dan berjubah. Dia memandang mereka penuh minat. Entah apa yang sedang dia fikirkan. Dia sendiri kurang pasti mengapa. Hati terdetik menyatakan bahawa kedua-dua wanita itu amat cantik dan jelita dalam pakaian mereka.

“Dhia, kau pandang apa tu?” Soal sahabat baiknya Sarra.
“Tak ada apa.” Dhia tersenyum memandang sahabatnya.

Sepanjang perjalanan balik ke rumah dia masih teringat akan dua orang wanita itu. Sarra yang sedang memandu di sebelahnya juga merasa hairan melihatnya. Dhia yang dia kenali adalah seorang yang ceria dan gila-gila. Namun, hari ini Dhia seolah-olah tenggelam dalam dunianya sendiri.

Azan Asar kedengaran. Dhia yang sedang leka membaca novel segera menutup novelnya. Dia duduk di birai katilnya. Hatinya sayu mendengar alunan merdu itu. Entah, dia sendiri kurang pasti mengapa. Telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang dia terima.

Assalamualaikum Dhia, buat apa tu? Dah solat?

Dhia kurang pasti dengan apa yang dia rasakan saat itu. Setiap kali soalan solat diajukan kepadanya pasti dia akan merasa cemas. Teramat cemas! ‘Ah, biarlah dulu. Nanti aku balas’ Bisik hatinya. Dia kembali berbaring dan membaca novelnya. Namun hatinya resah. Dia kembali mencapai telefon bimbitnya dan membaca pesanan ringkas tersebut. Hatinya berbisik lagi ‘Ah! Biarlah dia nak solat. Aku peduli apa..’ sebagai cara untuk menenangkan hati.

“Hello, Sarra. Jom lepak. Aku laparlah..” Dhia menghubungi Sarra.
“Lepak? Nak lepak kat mana?” Soal Sarra.
“Aku terasa nak makan waffle. Jom pergi Tea Time..”Balas Dhia ceria.
“Okey, tapi kau ambil aku kat rumah. Aku malas nak bawa kereta.”Balas Sarra sambil tertawa.
“No hal la! Lagi setengah jam aku sampai rumah kau. Siap cepat!” Dhia juga turut tertawa riang.
“Okey sayang!” Dhia menamatkan panggilan. Dia bangun dan mencapai tuala mandinya. Selasai mandi dia mengenakan pakaian. Cukup simple. Gaun paras lutut berwarna putih. Terserlah kakinya yang putih gebu. Rambutnya yang panjang paras pinggang dan sedikit keperangan itu dibiarkan lepas. Ramai yang memuji-muji kecantikan rambutnya. Rambutnya yang asli berwarna keperangan dan sedikit ikal di hujung itu memukau sesiapa sahaja yang melihatnya. Ditambah lagi kulitnya yang putih dan bersih. Dhia sering menjadi tumpuan walau kemana sahaja dia pergi.

Namun tidak pada Afi, lelaki yang Dhia cintai. Afi sekadar menganggapnya sorang sahabat. Mereka berkenalan di laman social Facebook dan Dhia yang memulakan perkenalan mereka. Setelah beberapa hari berkenalan Dhia telah meluahkan rasa cintanya kepada Afi. Sungguh, Sarra sendiri merasa hairan dengan keberanian Dhia. Selama 17 tahun berkawan, belum pernah sekalipun Dhia jatuh cinta sebegini. Melihat kesungguhan Dhia, dia amat kagum. Dhia bukanlah seorang yang terlalu seksi dan suka akan perhatian. Di laman social dia hanya akan memuat naik gambarnya yang sopan dan tidak menjolok mata. Baginya sederhana itu lebih cantik.

Dhia masih ingat akan pesanan Afi iaitu:
Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)

Kata-kata Afi bagaikan siaran ulangan yang sering bermain di mindanya. Entah, dia kurang pasti kenapa.
Dia Tea Time Dhia dan Sarra bergelak ketawa seperti biasa, berbual seperti biasa. Dhia cuba untuk melupakan perasaanya terhadap Afi. Dia cuba untuk mengisi masanya dengan meluangkan masa bersama Sarra. Namun hati Dhia tetap kosong. Akhirnya Dhia mengajak Sarra untuk balik ke rumah dengan alasan kurang sihat.

Dhia memandang gambar Afi di telefon bimbitnya. Gambar itu dia ambil dengan izin Afi melalui Facebook. Afi memakai baju melayu berwarna merah dan mengenakan songkok di kepalanya. ‘Hendsomenya.’ Bisik hati Dhia sambil tersenyum. Namun, air matanya bagaikan empangan pecah yang tidak dapat dikawal.
“Ya Allah, aku mencintainya. Aku merinduinya. Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah.. Engkau pertemukanlah aku dengan insan yang baik, yang mampu membimbingku..” Air mata Dhia mengalir deras. Telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk, Dhia mencapai telefonnya.. ‘Ya Allah, Afi call!’ Bisik hatinya.

“Hello, assalamualaikum Dhia..” Sapa Afi lembut.
“Hmm, waalaikumsalam..” Balas Dhia sambil mengawal nada suaranya.
“Dhia buat apa? Dhia okey?” Soal Afi lembut.
“Tak ada buat apa-apa..” Katanya.
“Kenapa suara Dhia macam orang lepas nangis ni? Dhia okey? Kenapa tak balas SMS Afi tadi?”Afi menyoal dengan lembut.
“Okey, tak nangis pun. Sorry, Dhia tak perasan.” Balas Dhia sambil menceriakan suaranya.
“Jangan nak tipu Afi, Afi tau Dhia nangis kan? Dhia ada masalah?” Soal Afi sedikit tegas.
“Tak, Dhia okey.. Tak ada masalah..” Dhia cuba berlagak tenang dan ceria.
“Hmm, tak apalah kalau Dhia tak nak bagi tau Afi. Tapi ingat, Afi akan sentiasa ada untuk Dhia. Dan ingat, setiap dugaan dari-Nya bermakna Dia sayangkan Dhia. Jangan sedih-sedih lagi tau.” Balas Afi dengan tenang. Pesanan Afi membuatkan hati Dhia semakin tersentuh dan tangisannya semakin deras.
“Afi...” Bisiknya dengan tangis.
“Kenapa Dhia? Afi tak suka Dhia macam ni tau. Bagi tau Afi, kenapa Dhia nangis?” Sekali lagi Afi mengulang soalan yang sama. Namun, Dhia hanya diam membisu. “Hmm, taka pa kalau Dhia tak nak bagi tau Afi. Tapi mengadulah pada Allah, sesungguhnya Dia akan mendengar luahan Dhia..” Sambungnya lagi.
“Terima kasih Afi. Dhia okey dah..” Balas Dhia sambil tersenyum dalam linangan air mata. Mereka berbual seperti biasa..
“Dhia, Afi nak solat isyak dulu ek. Dhia pun pergilah solat, tenangkan hati menghadap-Nya. InsyaAllah Dhia akan lebih tenang.. Dhia jaga diri, jangan nakal-nakal. Afi sayang Dhia. Assalamualaikum” Dhia tersenyum mendengar nasihat Afi.
“Okey, insya Allah. Jaga diri juga. Dhia sayang Afi juga. Waalaikumsalam Afi.” Dhia memandang wajahnya di cermin. Dia tersenyum dan berkata dalam hatinya ‘Ya Allah, andai dia jodohku maka Kau satukanlah hatinya dan hatiku.’

Setelah itu, Dhia terus mengambil wudhu dan menunaikan solat isyak yang telah lama dia tinggalkan. Dia menangis dan memohon ampun pada Allah. Sungguh, tika ini hatinya amat sayu. Selesai menunaikan solat, dia berniat ingin menunaikan solat isthikharah. Lalu dia mencari cara-cara menunaikan solat istikharah melalui internet.

Malam itu, buat pertama kalinya dia melakukan solat istihikharah. Alhamdulillah.. Hatinya teramat tenang dan damai.

“Assalamualaikum Sarra, esok temankan aku jalan. Boleh?” Kata Dhia semasa menghubungi Sarra.
“Waalaikumsalam. Err, okey..”Balas Sarah sedikit terkejut.
“Thanks sayang!”Balas Dhia dan terus mematikan talian telefon.

Hari ini Dhia memakai skirt labuh berwarna oren dan kemeja berwarna sama. Rambutnya yang panjang disanggul kemas. Wajahnya yang bersih disolek nipis. Ya, Dhia ialah seorang yang gemarkan keserdahanaan. Sederhana itu amat cantik pada pandangannya.

“Ya Allah! Cantiknya kawan aku!” Jerit Sarra semasa menjemput Dhia di rumahnya.
“Alhamdulillah, terima kasih kawan.” Balas Dhia sambil tersenyum. Dhia memandang Sarra yang memakai jeans dan T-Shirt. Rambut Sarra yang lurus tu kelihatan cantik diikat satu.
“Dhia, aku suka tengok kau macam ni. Nampak sopan.” Puji Sarra ikhlas.
“Ha’ah la Sarra, aku pun suka. Aku rasa lebih selamat dan yakin.”Balas Dhia sambil tersenyum.
“Kita nak pergi mana?” Sarra memandu dengan penuh berhati-hati.
“Butik muslimah.” Dhia berkata dalam tenang.
“Wah, nak beli apa?” Soal Sarra denga wajah berkerut.
“Aku nak cari baju dengan tudunglah..” Dhia bercerita dengan riang. Sarra semakin mengerutkan dahinya.
“Tudung? Ya Allah, kau nak pakai tudung? Wah!” Balas Sarrah riang.
“InsyaAllah, aku rasa hati aku terpanggil-panggil nak pakai tudung.” Dhia tersenyum riang.
“Ala, masa sekolah dulu pun kau pakai tudung kan. Tapi tudung sekolah kau semua saiz S.”Balas Sarra.
“Ya, itu dulu. Aku pakai tudung sebab dekat sekolah wajib pakai tudung buat pelajar Muslim. Macam kau tak tau, kau pun apa kurangnya.” Dhia mencubit lengan Sarra.
“Sakitlah! Aku saja nak usik kau.” Balas Sarra sambil tertawa.
“Haa, tau sakit. Buatlah lagi..”Balas Dhia.
“Dhia, aku pun rasa nak pakai tudung jugalah.. Aku rasa dah sampai masanya kita berubah. Kan?” Kata Sarra perlahan.
“Alhamdulillah. Marilah kita sama-sama berhijrah.” Balas Dhia sambil tersenyum.

4 bulan kemudian..

“Assalamualaikum Dhia..” Dhia yang sedang duduk membaca majalan Dara segera menoleh ke belakang.
“Waalaikumsalam... Afi..” Balasnya dengan wajah terkejut.
“Hmm, nasib tak salah orang..”Balas Afi sambil tersenyum.
“Macam mana Afi boleh tahu yang ini Dhia?” Soal Dhia dengan wajah penuh tanda tanya.
“Afi jumpa Sarra kat luar tadi. So, Afi tanyalah dekat Sarra Dhia kat mana..” Balasnya sambil tersenyum.
“Oh, patutlah.. Macam mana Afi boleh ada dekat sini? Tak sangka akhirnya dapat juga Dhia jumpa Afi kan..” Dhia memandang Afi dengan senyuman.
“Kebetulan kawan Afi bawa Afi pergi sini. Dia cakap nak kenalkan Afi dengan seseorang. So, datanglah dengan dia.. Tak sangka boleh jumpa Dhia.” Balasnya dengan wajah gembira.
“Oh, mana kawan Afi?” Soal Dhia sambil memandang Afi.
“Tu, tengah berbual dengan Sarra kat depan tu.” Dhia pantas mengalihkan pandangannya kearah Sarra dan Haikal.
“Haikal?! Tu kan boyfriend Sarra..” Balas Dhia sambil memandang Afi.
“Ya? Tak tau pula Afi.. Tapi Haikal cakap nak kenalkan Afi dengan kawan girlfriend dia. So...”
“Ya Allah ! Sarra pun cakap macam tu dekat Dhia tau. Ish, apalah Sarra ni!” Marah Dhia.
“Laaa, maksudnya Dhia la yang Haikal nak kenalkan dengan Afi ni? Kan?” Soal Afi dengan wajah gembira dan teruja.
“Hmm, ya la tu.” Balas Dhia. Afi tersenyum memandang Dhia yang sedang leka membaca majalah di hadapannya. Sarra dan Haikal berjalan menuju ke arah mereka.
“Assalamualaikum.. Hah, dah jumpa pun..” Haikal tersenyum memandang Afi dan Dhia.
“Dhia, aku betul-betul tak sangka yang kawan Haikal ni sebenarnya Afi. Tapi kira okeylah kan? Dapat juga kau jumpa Afi kesayangan kau ni.” Kata Sarra sambil tersengih-sengih. Dhia menjeling Sarra. Wajahnya merona merah.
“Ish, apalah sayang ni. Kesian Dhia tau.. Merah dah muka dia..”Tegur Haikal lembut.
“Haikal, thanks sebab kenalkan aku dengan Dhia.. Walaupun sebenarnya aku dah kenal dia..” Afi tersenyum memandang Haikal yang sendang duduk di sebelahnya.
“Dhia, nanti kau dengan Afi jadi pengapit kami masa majlis bersanding, boleh?” Sarra memandang Dhia yang sedang duduk di sebelahnya. Dhia memandang Afi yang sedang memandangnya.
“Boleh. Kan Dhia?” Balas Afi apabila melihat Dhia hanya diam membisu sambil memandangnya.
“Hah? Ya. Boleh.” Balas Dhia dengan senyuman di bibir.
“Dhia, cantinya Dhia pakai tudung. Afi suka tengok Dhia macam ni.” Dhia tunduk memandang majalah Daranya. Wajahnya kembali merona merah.
“Kau ni pun Afi, agak-agaklah nak puji. Malu Dhia tu tau.” Tegur Haikal sambil memandang Afi. Namun Afi hanya tersenyum memandang Dhia.

Kini Dhia telah banyak berubah. Dia telah menutup auratnya dengan baik dan sempurna. Tidak ada lagi gaun paras lutut, tidak ada lagi free hair dan tidak ada lagi Dhia yang dulu. Dhia kini lebih dekat pada-Nya. Dia lebih tenang dan bahagia dengan perubahannya sejak 3 bulan lalu. Hampir sebulan lamanya dia cuba untuk menyesuaikan diri dengan imej barunya. Alhamdulillah, kini telah 3 bulan dia benar-benar menjaga auratnya. Sebelum ini dia hanya memakai tudung semasa keluar dari rumah, namun kini laman social Facebooknya juga telah bertukar wajah. Semua gambar-gambar lamanya telah dia padam, yang tinggal hanya gambarnya yang sopan menutup aurat. Sarra juga melalui hijrah yang sama. Dia juga telah bersama-sama menutup auratnya dan mendekatkan dirinya pada Allah.

Andai Dhia katakana bahawa dia tidak lagi mencintai Afi, maka itu amat mustahil. Kerana dalam setiap doanya akan sentiasa terselit nama Afi. Namun, dia kini lebih ghairah dalam mengejar cinta Ilahi. Hatinya benar-benar tulus dalam menggapai redha-Nya. Dalam masa yang sama, Afi terus member Dhia sokongan dalam mendekatkan diri dan berhijrah ke arah kebaikan. Alhamdulilah.

“Ya Allah, aku mencintai Muhammad Afi Althaf. Tetapi aku lebih mencintai-Mu. Ya Allah, andai dia jodohku, tertulis buatku. Maka satukanlah hatinya dan hatiku. Namun, andai dia bukan jodohku maka aku mohon agar Engkau pertemukanlah aku dengan seseorang yang lebih baik yang mampu membimbing aku ke jalan-Mu. Amin Ya Rabb.”

Selesai menunaikan solat Isyak Dhia membaca al-Quran. Setelah selesai, dia keluar dari biliknya dan menuju ke dapur. Kelihatan Sarra sedang leka memasak makan malam. Sejak akhir-akhir ini Sarra gemar berada di dapur. Hampir 6 bulan lagi dia akan menjadi isteri yang sah kepada Muhammad Haikal. InsyaAllah.
Dhia duduk sendirian di beranda rumahnya. Rindu pada keluarga dan rakan-rakan membuatkan dia merasa ingin sendirian. Bari beberapa minit lalu dia menghubungi keluarganya yang jauh dimata namun dekat di hati.

“Assalamualaikum mak.” Sapa dia setelah ibunya menjawab panggilan darinya.
“Waalaikumsalam anak mak. Anak mak sihat?” Sayu suara ibunya menyentuh hatinya.
“Alhamdulillah mak, Dhia sihat.. Mak sihat? Adik dengan ayah sihat?” Soalnya sambil menahan sebak.
“Alhamdulillah, kami semua sihat nak.” Balas ibunya.
“Mak, Dhia nak minta maaf dekat mak dan ayah serta adik. Kalau Dhia ada buat salah atau sakitkan hati mak atau ayah atau adik, Dhia minta maaf.” Luah Dhia sayu.
“Mak dah maafkan semua salah Dhia. Jangan cakap macam tu. Dhia tak ada salah dengan kami. Dhia anak yang baik.” Balas ibunya sayu.
“Dhia sayang Mak. Dhia sayang Ayah. Dhia sayang Adik. Dhia rindu kamu semua.” Luahnya lagi.
“Baliklah nak. Kami pun rindu Dhia.” Air mata Dhia tumpah jua akhirnya.
“InsyaAllah bulan depan Dhia balik ya Mak. Mak tunggu tau.. Sampaikan salam Dhia buat ayah dan adik..” Balas Dhia sambil menahan sendunya.
“Ya. Kami tunggu. Dhia belajar baik-baik tau.. Assalamualaikum..”Balas ibunya. Selepas menjawab salam ibunya. Dhia terus manangis dan menangis. ‘Ya Allah, Engkau lindungilah keluargaku. Engkau murahkan rezeki mereka dan Engkau panjangkanlah umur mereka. Engkau jauhkanlah mereka dari penyakit Ya Allah..’ Doanya dalam hati.

Dhia sedang mengulangkaji pelajaran di dalam biliknya. Sudah hamper dua hari Dhia keseorangan di rumah itu. Sarra balik ke kampong halaman mereka untuk menguruskan majlis perkahwinannya yang hanya tinggal 3 bulan sahaja lagi. Dia kelihatan agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Sedang Dhia menulis nota, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. ‘Oh, Afi call..’ Bisik hatinya.

“Hello, assalamualaikum Afi.” Sapa Dhia.
“Waalaikumsalam.. Dhia buat apa?” Soal Afi.
“Dhia tengah buat nota. Kenapa?” Soal Dhia sambil tersenyum.
“Eh, maaf. Aku ganggu Dhia?” Soal Afi dengan nada bersalah.
“Tak. Kenapa Afi call?” Balas Dhia girang.
“Hmm, Afi nak tanya sesuatu dekat Dhia..”Katanya.
“Tanya apa?” Soal Dhia.
“Dhia, kalau ditakdirkan Dhia jodoh Afi, Dhia akan terima Afi?” Soal Afi perlahan.
“Kalau memang Afi yang tertulis buat Dhia, Alhamdulillah.. Dhia bersyukur sangat..” Balas Dhia dengan air mata yang mengalir.
“Alhamdulillah, Afi nak jumpa Ayah Dhia. Boleh Afi minta nombor telefon ayah Dhia?” Kata Afi tenang. Dhia member nombor telefon ayahnya dengan perasaan senang hati. Namun, ada sedikit risau yang menjeguk hatinya. Risau akan penerimaan ayahnya.

Keesokan harinya ayah Dhia menghubungi Dhia. Dhia menjawab panggilan itu dengan debaran.
“Hello, assalamualaikum ayah..” Sapa Dhia sopan.
“Waalaikumsalam anak ayah. Dhia sihat?” Soal ayahnya perihatin.
“Alhamdulillah, sihat. Ayah?” Balas Dhia.
“Ayah sihat. Dhia, ayah nak tanya.. Dhia kenal dengan Afi Althaf?” Soal ayahnya dengan tenang.
“Kenal ayah. Kenapa?” Balas Dhia sedikit gugup.
“Dah pernah jumpa dia?” Soal ayahnya lagi.
“Dah, pernah satu kali.” Balasnya jujur.
“Dhia tahu dia nak pinang Dhia?”Soal ayahnya lagi.
“Tahu ayah.”
“Dhia terima?”
“Kalau ayah terima, Dhia terima. Dhia ikut cakap ayah.”
“Ayah nak jumpa dia dulu.” Balas ayahnya. Tika itu Dhia merasa sangat bahagia. Tidak dia sangka bahawa Afi benar-benar menghubungi ayahnya.

Seminggu berlalu..
“Assalamualaikum anak ayah..” Ayah Dhia menghubungi Dhia.
“Waalaikumsalam ayahku sayang..”Balas Dhia girang namun hatinya berdegup kencang.
“Dhia, ayah dah terima lamaran Afi.” Sebaik sahaja mendengar sebaris ayat yang terucap dari mulut ayahnya Dhia terus sujud syukur dan mengalirkan air mata bahagia.
“Alhamdulillah.” Balas Dhia.
“Lagi dua minggu Dhia balik kan?” Soal ayahnya gembira.
“Ya ayah. InsyaAllah.” Setelah berbual panjang, Dhia terus mengambil wudhu dan menunaikan sembahyang sunat syukur. Hatinya amat tenang dan bahagia saat ini.

Seminggu sebelum balik ke kampung halaman..
“Afi, Dhia nak minta maaf dekat Afi andai ada salah dan silap Dhia sepanjang perkenalan kita.” Kata Dhia semasa menghubungi Afi.
“Dhia tak ada salah, kalau ada pun Afi dah lama maafkan..” Balas Afi lembut.
“Alhamdulillah, Dhia bahagia sangat dapat kenal Afi. Kalaupun Allah ambil Dhia dalam masa terdekat ni, Dhia harap Dhia dah sedia.” Kata Dhia gembira. Namun tidak pada Afi, dia merasakan bahawa kata-kata Dhia bagai menghiris hatinya.
“Kenapa Dhia cakap macam tu? Afi tak suka. Afi rasa lain bila Dhia cakap macam tu. Jangan cakap macam tu lagi. Please!” Nada suara Afi keras. Dan ada getar dalam percakapannya. Entah mengapa, dia merasa sangat tersentuh dan sedih.
“Maaf Afi. Dhia cakap ja. Dhia tak ada niat apa-apa..” Bergetar suara Dhia semasa bercakap. Air matanya tumpah jua akhirnya. Afi tidak pernah meninggikan suara kepadanya seperti tadi.
“Dhia, Afi tahu mengingat mati itu bagus. Tapi...” Afi tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi.
“Afi, Dhia minta maaf.” Kata dia dalam tagisan.
“Jangan cakap macam tu lagi..” Pesan Afi.

Dhia sibuk membantu Sarra mengemas barang. Tidak lama lagi Sarra akan menjadi isteri orang. Dan tinggallah Dhia sendirian di rumah itu kelak. Sarra akan balik ke kampung lebih awal dari tarikh perkahwinannya. Iaitu sebulan lebih awal.

Hari ini Dhia akan balik ke kampung halamannya. Dia akan memandu keretanya sendiri. Setelah memastikan semuanya dalam keadaan baik dan selamat Dhia mengunci pintu rumahnya dan seterusnya pintu pagar rumahnya. Dengan lafaz bismilah, dia memulakan perjalanan. Semasa dia sedang memandu, tiba-tiba ada sebuah kereta keluar dari simpang dan tanpa sempat menekan brek Dhia terlanggar kereta tersebut. Kereta Dhia remuk teruk di bahagia hadapan pemandu. Manakala, kereta yang Dhia langgar remuk teruk di bahagian kanan kereta. Subhanallah!

Suasana gelap. Yang kedengaran hanya tangisan. Dhia cuba membuka matanya. ‘Ya Allah, aku di mana?’ Soalnya dalam hati. Tangisan yang tadinya kuat kini semakin menghilang. Dhia cuba bangun. Dia memandang sekelilingnya. Dia berada di atas sebuah katil yang tilamnya lembut dan nyaman. Eh, ini bukan roti. Tapi tilan itu sangat empuk! Katil itu berwarna putih. Ada emmpat tiang dan di setiap tiang ada bunga berwarna pink yang menjalar. ‘Subhanallah! Cantiknya..’ Bisik hatinya. Dia turun dari katil itu. Bilik itu terlalu luas baginya, di tengah bilik itu ada kolam yang cantik. Dia mengikuti aliran air kolam itu. ‘Sungai.. Jernihnyaa’Bisik hatinya lagi. Sayup-sayup kedengaran bunyi air deras memecah sunyi. ‘Subhanallah! Ada air terjun di dalam bilik ini?’ Soal hatinya sendiri. Dia menyentuh air itu. ‘Sejuk..’ Bisiknya. Dia memandang ke kanan. ‘Subhanallah! Cantiknya taman bunga ini.’ Kakinya pantas melangkah menghampiri taman bunga itu.

“Assalamualaikum Ainul Mardhiah.” Sapa satu suara yang lembut.
“Waalaikumsalam..” Balas Dhia sambil memandang wajah wanita tersebut. ‘Subhanallah! Cantiknya ciptaan-Mu Ya Allah.’ Bisik hatinya.
“Ana Mislina.. Nama saya Ana Mislina.” Kata wanita itu lantas tersenyum pada Dhia. “Saya ialah penjagamu. Saya yang akan menemanimu mulai saat ini.” Balas Ana Mislina.
“Tapi saya berada di mana?” Soal Dhia.
“Syurga.” Lantas air mata Dhia mengalir laju. Dan...
“Dhia! Dhia! Ya Allah, Dhia!” Kedengaran suara Ibu memanggil namanya. Suara tangisan juga kembali kuat kedengaran dan Dhia merasakan dunianya kembali gelap gelita.
Kini, tika dia buka kelopak matanya dia melihat ibu, ayah dan adiknya sedang memandangnya dengan wajah penuh kerisauan. Ada air mata mengalir dari tubir mata mereka. Subhanallah!
“Syukur Alhamdulillah Dhia dah sedar. 2 hari Dhia tak sedarkan diri nak.” Kata ibu dalam tangisan. Namun kini ada senyuman menghiasi bibirnya.
Mimpi atau ilusi ataupun apa sebenarnya? Subhanallah! Sungguh indah tempat itu Ya Allah. Dhia merasa sayang untuk meninggalkan tempat yang indah itu. Sungguh, dia amat tenang semasa berada di sana. Subhanallah! Adakah benar itu syurga?

3 bulan berlalu..

Hari ini Dhia dan Afi akan diijabkabulkan. Dhia duduk di sebelah Afi dengan tenang. Terserlah kebahagiaan di wajah mereka berdua.

“Aku terima nikahnya Ainul Mardhia binti Mohd Aizam dengan mas kahwinya RM200 ringgit tunai.”

Hanya dengan sekali lafaz sahaja Dhia Sah menjadi isteri Afi. Alhamdulillah. Subhanallah, jodoh itu rahsia Allah. Andai ingin mendapat pasangan yang baik, maka perbaikilah dirimu.

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)

No comments:

Post a Comment